Bacaan: Lukas 24:36-49
Apabila Yesus bangkit, selama 40 hari,Ia ‘tiba-tiba berdiri’ di tengah-tengah murid-muridNya banyak kali untuk menyingkirkan semua rasa takut dan keraguan yang mereka alami. Ramai menyangka mayat Yesus dicuri atau Yesus adalah seorang hantu. Cara paling biasa yang dilakukan Yesus ialah dengan menyuruh mereka merabaNya dan dengan makan bersama mereka supaya mereka sedar Dia bukan hantu atau hasil imaginasi yang tidak terkawal (ayat 39-43). Saya yakin ini juga rintangan terbesar hari ini untuk sesiapa yang mahu percaya kepada Yesus – apakah Dia benar-benar telah bangkit? Mana buktinya? Semoga rekod-rekod saksi mata peristiwa ini membantu.
Sesudah murid-muridNya yakin Dia telah bangkit, Yesus seterusnya membantu mereka memahami dan mengetahui bahawa apa yang terjadi adalah sesuai dengan kenyataan-kenyataan dalam Firman Tuhan – kebangkitanNya adalah kehendak dan rencana Tuhan (ayat 44-46). Kemudian Dia menambah beberapa maklumat yang penting: berita pertaubatan dan pengampunan dosa MESTI disebarkan kepada semua kaum etnik di dunia - mesej Yesus tidak lagi hanya mesej untuk orang Israel. Sebagai saksi Yesus mengirim mereka dan memperlengkapi mereka dengan Roh Allah yang dijanjikan akan mereka terima dalam beberapa hari.
Ini ialah mandat kita juga. Kita MESTI menyebarkan berita ini kepada semua suku kaum (etnik) dan melakukannya sesudah kita dipenuhi dengan Roh Kudus. Bagaimana dengan anda? Sudahkah anda diperlengkapi dengan Roh Tuhan dan kuasaNya? Sudah akan merancang dan mula menyebarkan maklumat ini kepada semua manusia, bermula di mana anda sedang tinggal saat ini?
No comments:
Post a Comment