Friday, May 6, 2011

April 24 - Gembira Dia Pergi

Bacaan: Lukas 24:50-53

Di luar kota Yerusalem, dekat Betania, Yesus meberkati murid-muridNya lalu terangkat (terapung) ke langit sehingga tidak kelihatan. Respons murid-murid Yesus kepada peristiwa aneh ini? Mereka menyembah Yesus yang terangkat itu dan kemudian kembali ke kota Yerusalem dengan senyuman yang lebar. Yesus telah kembali ke syurga dengan selamat. Roh Kudus akan datang tidak lama lagi. Penyebaran ajaran Yesus akan bermula. Dunia tidak akan sama lagi dan merekalah yang akan memulakannya!
Apakah anda juga turut dalam arus pengubahsuaian dunia yang dimulakan oleh para rasul pilihan Yesus?

April 23 - Hal-hal Penting

Bacaan: Lukas 24:36-49

Apabila Yesus bangkit, selama 40 hari,Ia ‘tiba-tiba berdiri’ di tengah-tengah murid-muridNya banyak kali untuk menyingkirkan semua rasa takut dan keraguan yang mereka alami. Ramai menyangka mayat Yesus dicuri atau Yesus adalah seorang hantu. Cara paling biasa yang dilakukan Yesus ialah dengan menyuruh mereka merabaNya dan dengan makan bersama mereka supaya mereka sedar Dia bukan hantu atau hasil imaginasi yang tidak terkawal (ayat 39-43). Saya yakin ini juga rintangan terbesar hari ini untuk sesiapa yang mahu percaya kepada Yesus – apakah Dia benar-benar telah bangkit? Mana buktinya? Semoga rekod-rekod saksi mata peristiwa ini membantu.
Sesudah murid-muridNya yakin Dia telah bangkit, Yesus seterusnya membantu mereka memahami dan mengetahui bahawa apa yang terjadi adalah sesuai dengan kenyataan-kenyataan dalam Firman Tuhan – kebangkitanNya adalah kehendak dan rencana Tuhan (ayat 44-46). Kemudian Dia menambah beberapa maklumat yang penting: berita pertaubatan dan pengampunan dosa MESTI disebarkan kepada semua kaum etnik di dunia - mesej Yesus tidak lagi hanya mesej untuk orang Israel. Sebagai saksi Yesus mengirim mereka dan memperlengkapi mereka dengan Roh Allah yang dijanjikan akan mereka terima dalam beberapa hari.
Ini ialah mandat kita juga. Kita MESTI menyebarkan berita ini kepada semua suku kaum (etnik) dan melakukannya sesudah kita dipenuhi dengan Roh Kudus. Bagaimana dengan anda? Sudahkah anda diperlengkapi dengan Roh Tuhan dan kuasaNya? Sudah akan merancang dan mula menyebarkan maklumat ini kepada semua manusia, bermula di mana anda sedang tinggal saat ini?

Monday, April 25, 2011

April 22 - Semuanya Jelas

Bacaan: Lukas 24:13-35

Yesus mendekati dua orang murid yang berjalan menuju Emmaus tetapi mereka tidak mengenal Yesus. Alkitab berkata 'ada sesuatu yang menghalangi mata mereka'. Apa gaknya penghalang ini? Apakah ramai orang Kristian (dan bukan-Kristian) juga mengalami halangan ini sehingga tidak 'nampak' Yesus?
Murid Yesus muram; Yesus dipanggil nabi yang hebat dan luarbiasa dan penyalibanNya diakui oleh mereka. Mereka harap Yesus membebaskan Israek dari penjajahan Romawi (satu harapan biasa orang Yahudi tentang Mesias; walaupun salah) tetapi itu tidak terjadi. Sebaliknya Dia mati! Kisah kebangkitan Yesus diragui dan tidak dipercayai. Inilah keadaan dua murid Yesus ini - muram, salah percaya, salah harap dan tidak percaya!
Tidak hairanlah Yesus menegur mereka dan memanggil mereka 'bodoh dan lamban hati'! Sesudah itu Yesus mula menjelaskan fahaman dan ajaran sebenar tentang Mesias dari Perjanjian Lama khususnya tentang kematian dan kebangkitan Mesias. Carilah dan perhatikanlah ajaran dalam Perjanjian Lama - memang bermanfaat untuk mengajar dengan lengkap/penuh semua tentang Mesias dan kerjanya sebagai Penyelamat. Itu sebabnya Alkitab kita ada Perjanjian Lama dan mesti dipelajari dan difahami.
Sesudah disuruh bersama mereka untuk makan, Yesus bersetuyju dan ketika Dia mengucap syukur dan memecah roti, sesuatu terjadi - mereka celik dan sedar lelaki bersama mereka itu adalah Yesus! Kemudian dikatakan Yesus 'LENYAP'!!! Apa yang terjadi? Apakah Yesus hilang secara fizikal tiba-tiba? Jika 'ya', maka jelaslah tubuh Yesus yang bangkit itu walaupun ada darah dan daging, sangat istimewa dan berbeza dari tubuh fizikal biasa.
Mereka pun kembali ke Yerusalem dan terus menambahkan kesaksian mereka kepada kesaksian-kesaksian lain yang sudah pun kedengaran di kota Yerusalem - Tuhan telah bangkit!
Bagaimana dengan anda? Sudah 'melihat' kebenaran itu bahawa Yesus telah bangkit?


Saturday, April 23, 2011

April 21 - Orang Mati Hidup Kembali!

Bacaan: Lukas 24:1-12

Yesus bangkit pada hari Ahad (ingat bahawa Sabat disambut pada hari Sabtu oleh penganut agama Yahudi) – ‘pagi-pagi benar pada hari pertama minggu’, iaitu sesudah Sabtu berakhir, keesokan harinya, awal pagi.
Fakta: mayat Yesus tidak ditemukan di dalam lubang kubur di mana ianya ditempatkan pada hari Jumaat (ayat 3). Apakah yang terjadi kepada mayat Yesus? Jawapan dari dua orang yang memakai pakaian berkilau-kilau ialah: Mengapa mencari Dia yang hidup antara orang yang mati? Ia telah bangkit! (ayat 5-6). Ini semua mereka katakan sesuai dengan pengakuan dan ramalan Yesus sendiri sebelum Dia disalibkan.
Kejadian ini dilaporkan kepada kesebelas murid Yesus. Penginjil-penginjil (penyampai Berita Baik) pertama tentang kebangkitan Yesus ialah wanita-wanita penting dalam hidup Yesus termasuklah ibunya sendiri, Maria, tetapi peliknya cerita mereka dianggap omong kosong (cakap Indonesialah) dan tidak dipercayai.
Walaupun begitu Petrus telah membuat tinjauan untuk melihat sendiri apa yang terjadi. Dia menemukan kain kapan yang dipakai untuk membalut Yesus masih di dalam kubur itu, ditempat Yesus dibaringkan, tanpa diganggu; CUMA tidak ada mayat di tengah-tengah balutan kain kapan itu!
Inilah keajaiban kebangkitan Yesus. Inilah kehebatan kebangkitan Yesus!

Friday, April 22, 2011

April 20 - Mati dan Dikebumikan

Bacaan: Lukas 23:44-56

3 jam matahari tidak bersinar – gerhana matahari? – langit di atas tempat Yesus disalibkan menjadi gelap seolah-olah tidak sanggup membakar Tuhan yang menciptakannya atau mungkin mahu menyesuaikan latarbelakang dengan apa yang sedang berlaku pada saat itu. Yang pasti ‘matahari tidak bersinar’ bukan satu fenomena biasa.
Tabir terbelah dua – tabir di bait Suci yang berat dan tebal, yang digantung untuk menandakan kawasan larangan (hanya imam besar setahun sekali boleh masuk ke sebalik tabir itu untuk mempersembahkan korban dosa) – membenarkan semua manusia sekarang masuk ke hadirat Allah yang maha suci kerana korban dosa yang sempurna telah dipersembahkan – tidak perlu lagi kita sembelih domba atau sapi (kambing biri-biri atau lembu, seperti yang masih dilakukan oleh sesetengah agama monoteistik sampai hari ini).
Yesus menyerahkankan nyawanya – Yesus mati dan mati secara sukarela.
Ketua pasukan askar Romawi mengaku Yesus orang benar; penonton-penonton penyaliban Yesus balik berasa menyesal (memukul-mukul diri); mereka yang kenal Yesus ‘berdiri jauh-jauh’. Tiga reaksi yang berbeza dari tiga kumpulan yang menyaksikan penyaliban Yesus. Mengapa reaksi yang berbeza-beza ini? Apakah reaksi anda kepada penyaliban Yesus?

Di dalam Majlis Agung (majlis yang menuntut kematian Yesus, terdiri dari orang Farisi, ahli Taurat dsbnya) ada seorang pengikut Yesus – Yusuf Arimatea. Dia meminta mayat Yesus dari Pilatus, menurunkan mayat Yesus dari salib, membungkus (mengapani) mayat Yesus dan membaringkan mayat Yesus dalam kubur baru (lubang yang digali di dalam bukit batu). Semua ini siap sebelum jam 6 petang, hari Jumaat (lihat ayat 54).
Proses penkebumian Yesus diperhatikan juga oleh perempuan-perempuan dari Galilea (Yesus ada ramai pengikut wanita yang setia pada masa itu pun!) – mereka saksi dimana kubur itu dan bagaimana Yesus dibaringkan. Pengkebumian Yesus tidak dilakukan tanpa saksi – ini penting untuk apa yang akan terjadi beberapa hari sesudah ini.

Wednesday, April 20, 2011

April 19 - Salib Ke Golgota

Bacaan: Lukas 23:26-43

Beberapa pendapat, soalan dan coretan idea dari saya sesudah merenung bacaan hari ini:

Siapakah Simon dari Kirene? Mengapakah dia disuruh memikul salib Yesus? Apakah kesan pengalaman ini atas Simon? Apakah yang terjadi kepadanya sesudah peristiwa ini? Banyak soalan tetapi apakah jawapannya . . .
Ramai wanita mengikut Yesus dan meratapi keadaanNya. Hal ini masih sama hari ini. Dalam banyak kelompok Kristian yang jelas nampak ialah sejumlah wanita yang besar yang ‘menjiwai’ Yesus dengan sungguh-sungguh. Kenapa agaknya ini berlaku ?
Dua penjahat mengongsi ‘spotlight’ dengan Yesus lalu memberi gambaran kepada kita siapa yang biasanya disalibkan dan keadaan mereka. Walaupun penjahat, seorang daripada mereka menyedari identiti Yesus dan membuat pengakuan yang memastikan tempatnya di syurga; yang seorang lagi menghujat dan mencabar Yesus. Hari ini semua manusia berdosa memilih satu daripada dua respons yang sama: mengakui Yesus sebagai Raja yang tidak berdosa dan menerima penyelamatan atau menghujat dan mencabar Yesus lalu menerima apa yang sememangnya telah dimiliki, hukuman dari manusia dan Allah.
Yesus mengampuni semua yang terlibat dalam penyalibanNya baik secara langsung mahupun tidak. Dia datang buat kali pertama bukan untuk menghukum tetapi untuk mengampuni manusia yang berdosa. Yesus sedia mengampuni.
Ramai yang menyeru dan menghujat Yesus untuk menyelamatkan diriNya. Ironinya ialah Yesus sedang disalibkan untuk menyelamatkan mereka yang  sedang menghujatNya! Mereka ini tidak sedar mereka perlu diselamatkan dan bahawa Yesus sedang melakukan operasi penyelamatan yang paling menakjubkan di dunia. Betapa buta dan jahilnya manusia . . .
Yesus Raja – baik raja Yahudi mahupun raja semua manusia. Apakah Dia raja anda juga? Yesus adalah Kristus – apakah ini pengakuan anda juga?
Akhirnya, apa itu Firdaus? Syurga? Kerajaan Allah di luar dunia ini? Janji Yesus kepada penjahat yang mengaku bahawa Yesus Raja dan Kristus ialah bahawa dia akan bersamaNya di Firdaus (ayat 43). Ada komen?

Monday, April 18, 2011

April 18 - Mati! Mati! Mati!

Bacaan: Lukas 22:66 – 23:25

Jawapan Yesus bahawa Dia ‘duduk di sebelah kanan Allah yang Maha Kuasa’ difahami oleh musuh-musuh Yesus (yang berpengetahuan dalam selok-belok agama) sebagai pengakuan dari mulut Yesus sendiri yang Dia adalah Anak Allah – satu fahaman yang tidak dinafikan oleh Yesus (ayat 70). Musuh Yesus sangat arah dengan pengakuan Yesus ini.
Perhatikan tuduhan orang beragama tentang Yesus (23:2) – ada yang benar dan ada yang dibelitkan sedikit. Ini selalunya taktik penuduh-penuduh Yesus. Awas . . .
Pilatus tidak mendapati Yesus bersalah atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadaNya. Didesak untuk melakukan sesuatu yang dia tidak ingini, Pilatus melemparkan “masalahnya” kepada Raja Herodes yang tidak membuat apa-apa keputusan tetapi sebaliknya melayani Yesus dengan kurang ajar.
Ada orang yang seperti Raja Herodes – mereka mahu berjumpa/lihat Yesus kerana sering mendengar tentangNya dan harap untuk melihat mukjizat/kuasa Yesus. Mereka juga ada banyak soalan yang mahu ditanya. Akan tetapi apabila mukjizat tidak kelihatan dan soalan tidak terjawab, mereka berubah menjadi penista dan pengolok Yesus.
Pemimpin-pemimpin agama dan orang awam yang mudah dipengaruhi oleh pemimpin agama semakin lama menjadi semakin bising dan mendesak tindakan dari Pilatus, yang walaupun mengaku Yesus tidak bersalah, akhirnya menggunakan satu tradisi masa itu untuk membuka jalan supaya Yesus dibunuh walaupun Dia tidak bersalah. Hari ini desakan yang kuat dan bising oleh pemimpin-pemimpin agama yang benci orang Kristian dan mahu mereka dibendung mahupun dibunuh masih lagi kedengaran. Mereka banyak kali berjaya menghasut rakyat biasa untuk mogok dan bertindak ganas menyeru tindakan yang berat dikenakan atas orang Kristian yang tidak bersalah. Banyak kali pemimpin negara akan akur kepada teriakan dan tuntutan rakyat yang telah dihasut oleh pemimpin agama mereka. Semoga hal ini tidak terjadi di Malaysia tetapi kalau terjadi, anggaplah ini ulangan kisah Yesus . . .