Bacaan: Lukas 18:9-14
Sombong dan bongkak. Sesuatu yang Tuhan SANGAT benci. Berita baik: dosa ini boleh kita elakkan dengan sengaja merendahkan diri. Jadikan ini amalan mesti setiap hari dan lihatlah apa yang akan terjadi!
Mungkin ada yang boleh kongsikan apa yang telah dilakukan untuk merendahkan diri atau contoh amalan yang membuktikan orang itu merendahkan diri?
Komen dari pemuda-pemudi di Shalom setelah merenung bacaan harian dari ODJ yang mengisahkan perjananan Yesus ke Salib di Golgota
Thursday, March 31, 2011
Wednesday, March 30, 2011
Mac 31 - Jangan Berhenti
Bacaan: Lukas 18:1-8
Satu lagi bacaan yang tepat waktunya. Saya sedang bergumul dengan keadaan anak saya yang belum sembuh dan mula berasa khuatir. Ayak ini mengingatkan saya bahawa Allah memiliki apa yang saya perlukan dan cara mendapatkannya adalah dengan berdoa tanpa henti-henti, terus-menerus ‘menyusahkan’ Tuhan sehingga Dia menghulurkan kesembuhan untuk anak saya. Untuk idak-putus berdoa ini berlaku, saya juga sedar iman yang saya miliki mesti dipakai dan dijadikan pemangkin.
"Berilah kepada saya hari ini apa yang saya minta Bapa. Amin."
Mac 30 - Akan Datang (Bila?)
Bacaan: Lukas 17:20-37
Saya juga telah membaca buku 88 Reasons itu ketika saya seorang Kristian muda dan saya sangat tertarik dengan idea bahawa Yesus akan kembali tidak lama lagi. Walaupun beitu saya tidak dapat mempercayai pengisytiharan bahawa Yesus akan kembali pada tahun 1988 kerana saya telah sedar pada masa itu bahawa telah ada terlalu ramai orang meramalkan tahun Yesus akan kembali (kiamat) dan tidak ada satu pun yang menjadi. Hari ini peramal-peramal melaungkan 2012 sebagai harinya dunia ini musnah. Apakah respons anda?
Yang jelas dari bacaan ini tidak ada orang tahu dengan tepat masanya Yesus akan kembali dan kembalinya adalah dengan cepat dan akan diketahui. Masa kembalinya Yesus adalah ketika manusia meneruskan hidup mereka seperti biasa – melakukan banyak kejahatan tanpa menghiraukan Allah – dan ramai akan terkejut apabila ianya berlaku.
Yang lebih penting ialah “Apakah Kerajaan Allah telah dating ke dalam hati anda dan Yesus sudah bertaktha dalam hidup anda?” Ini perlu dijawab terlebih dahulu.
Tuesday, March 29, 2011
Mac 29 - Terima Kasih
Bacaan: Lukas 17:11-19
Memang susah untuk mengucap terima kasih kan? Apalagi kepada Tuhan setelah Dia melakukan sesuatu untuk kita. Ramai orang sukar untuk percaya sesuatu yang berlaku itu adalah disebabkan oleh Allah atau dari Allah, khususnya jika hal itu sesuatu yang baik (lebih ramai orang senang percaya sesuatu yang jahat adalah perbuatan Allah - pelik kan?). Bacaan hari ini ialah satu peringatan - jangan lupa bersyukur, memuji Tuhan kerana apa yang Dia telah lakukan (ayat 15).
Ini membuat saya teringat - sudah lama tidak ada orang tampil ke depan pada hari minggu dan memberi kesaksian bertujuan memuji Tuhan untuk sesuatu yang baik Dia telah lakukan. Bagaimana hari Ahad ini - ada sesiapa mahu bersyukur kepada Tuhan kerana baik yang Dia telah lakukan?
Monday, March 28, 2011
Mac 28 - Beberapa Ajaran Penting
Bacaan: Lukas 17:1-10
Saya tersenyum apabila membaca ayat 1 hari ini kerana selama beberapa hari yang lepas saya telah diganggu oleh seorang yang menghantar sms-sms kepada saya setiap malam, mula-mula dengan niat bertanya tetapi kemudian jelaslah dia seorang pengikut agama sesat Saksi Yehuwa dan dia cuba menyesatkan saya. Bagi dia dan semua penyesat lain, kenyataan Yesus jelas: celakalah orang yang mengadakannya (penyesatan).Lebih baik batu diikat pada lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut!
Ajaran kedua sangat praktikal. Walaupun kita disuruh jangan jaga tepi kain orang, ajaran ini tidak pakai jika pengguna kain itu saudara seiman. Kita disuruh menegur saudara yang berdosa dengan tujuan menggalakkan dia menyesal (bertaubat adalah terjemahan yang lebih tepat) dan jika ada pertaubatan maka kita mesti mengampuni. Ini juga membina scenario di mana dosa itu adalah terhadap kita dan saudara yang berdosa itu tidak sedar dia telah berlaku salah. Amalan yang baik untuk menghasilkan perhubungan yang sihat dan terbuka.
Permintaan murid Yesus untuk dibesarkan iman ditempis dengan pendedahan ini: bukannya besar iman yang dimiliki tetapi penggunaan iman yang sudah ada, tidak kira saiznya.
Akhirnya, walaupun kita diberi hak menjadi anak-anak Allah, kita juga adalah hambanya (yang diberi hak sebagai anak). Janganlah hakikat ini dilupai: sebagai hamba Tuhan kita melayani Allah, melakukan tugas yang telah diberi dan menganggap usaha kita itu hanya melakukan apa yang mesti dan patut. Tidak perlu ada pujian dan ucapan syukur dari Tuan dan tidak ada tempat untuk bersungut atau malas...
Sunday, March 27, 2011
Mac 27 - Orang Kaya, Orang Miskin
Bacaan: Lukas 16:19-31
Mati dan dibawa oleh malaikat ke pangkuan Abraham
Mati . . . menderita sengsara di alam maut
Melihat abraham dan lazarus
Sangat kesakitan dalam nyala api ini
Antara kami dan engkau terbentang jurang yang tak terseberangi
Ada pada mereka kesaksian Musa dan para nabi
Jika mereka tidak mendengarkan kesaksian Musa . . . mereka tidak juga akan mahu diyakinkan sekalipun oleh seorang yang bangkit dari antara orang mati
Ayat-ayat yang hebat dan menakutkan. Dari cerita seperti ini (ini cerita umpama atau kisah benar?) maka terbentuklah ajaran dan ilustrasi untuk neraka serta ajaran-ajaran tentang keadaan manusia sesudah mati - yang benar diambil malaikat ke syurga dan yang tidak benar di alam penderitaan; walaupun boleh saling melihat tetapi tidak boleh melepasi jurang yang memisahkan mereka berdua; kesakitan yang amat sangat bagi mereka di alam maut. Masalah paling besar di sini ialah isu ini: apakah ini cerita yang dibuat Yesus untuk mengajar satu hal penting (ketidakpercayaan, penginjilan, syurga dan neraka?) atau ini kenyataan benar di mana Yesus membongkar keadaan manusia sesudah mati dan alam maut? Apakah pendapat anda?
Saya juga tertarik dengan idea manusia sudah ada cukup kesaksian - Alkitab (Musa dan para nabi) - dan jika mereka beri perhatian kepada Alkitab nescaya mereka akan selamat. Ini saya yakin dipercayai oleh ramai orang Islam di Malaysia dan kerana itu mereka berusaha menyekat Alkitab (yang dalam bahasa mereka dan boleh difahami kaum mereka) daripada diedarkan atau terjatuh ke atas riba orang Melayu Islam; mana tahu melalui kesaksian Musa dan para nabi mereka menjadi percaya. Harapan saya orang Kristian mempunyai keyakinan yang macam itu juga dan tidak malu menyebarkan dan mengedarkan Firman Tuhan kepada semua manusia.
Akhir kata, ada orang tak akan percaya walaupun Yesus yang bangkit berdiri di depan mereka . . . inilah hakikatnya keadaan manusia.
Mac 26 - Pakai Wang
Bacaan: Lukas 16:1-18
Yesus banyak menyentuh tentang penggunaan wang yang bijak. Dalam perumpamaan ini, Yesus tidak mengajar kita supaya berlaku tidak jujur tetapi cuba menarik perhatian kita kepada respons bendahari ini ketika menghadapi masalah dan bagaimana dia bertindak dengan cersik ketika mengalami masalah (ayat 8).
Satu cara bertindak dengan cerdik menurut Yesus ialah menggunakan kewangan dan kekayaan yang kita ada untuk membina persahabatan dengan orang yang boleh menolong kita kemudian hari (ayat 9). Dia juga menuntut supaya kita setia dengan wang yang kita ada (walaupun dianggap sedikit) kerana hanya dengan membuktikan kesetiaan kepada pengurusan wang yang sedikit boleh kita diamanahkan dengan pengurusan wang yang besar.
Akhirnya Yesus memberi amaran - jangan jadi hamba wang (Mamon) sebaliknya kita mesti pandai memperhambakan (menggunakan) wang dan bukan sebaliknya (ayat 13).
Bagaimana anda dan wang anda?
Thursday, March 24, 2011
Mac 25 - Bapa Tersenyum
Bacaan: Lukas 15:11-32
Ada orang berkata kisah ini harus dijudulkan “Bapa penuh kasih yang mengampun” dan bukan “Anak yang sesat kembali”. Banyak focus diberikan kepada anak sesat yang bertaubat tetapi yang sama penting ialah Bapa yang tetap mengasihi, sabar menunggu kepulangan dan lebih dari sedia mengampuni. Puji Yuhan, kita mempunyai Bapa syurgawi yang seperti ini. Semua yang bertaubat PASTI ada penerimaan dan pengampunan dari Allah!
Bapa di syurga SANGAT gembira apabila kita bertaubat dan kembali kepadaNya. Kejujuran dan pengakuan dari hati yang sedar mencukupi bagi Allah. Kembalilah kepada bapa – senyuman mukaNya dan dakapan kasihNya dasyat!
Mac 24 - Sukacita di Syurga!
Bacaan: Lukas 15:1-10
Orang Farisi tidak tahan melihat Yesus bercampur dengan orang berdosa. Saya dapati ‘penyakit’ ini juga kelihatan pada orang kuat beragama hari ini – mereka tidak tahan berada bersama orang berdosa dan mereka terkejut apabila mengetahui atau melihat seorang Kristian bergaul bebas dengan orang bukan Kristian. Sama seperti orang Farisi, reaksi biasa mereka ialah ‘bersungut-sungutlah’ (ayat 2).
Jawapan Yesus senang sahaja – orang berdosa ialah orang yang sesat, yang hilang. Mereka tidak sedar situasi mereka dan apabila sedar tidak berkeupayaan melakukan apa yang perlu supaya dijumpa dan dikembalikan ke tempat yang selamat. Oleh itu mereka perlu orang untuk mencari dan menyelamatkan mereka. Kata Yesus, itulah sebabnya Dia bersama orang berdosa – mencari siapa yang sedar mereka sesat, menyelamatkan mereka dan mengembalikan mereka kepada kawanan domba yang sudah selamat.
Motivasi Yesus? Sukacita yang dialami Allah, malaikat dan si dia yang diselamatkan.
Bagaimana dengan anda di Shalom? Sudah pergi cari domba yang sesat dan wang yang hilang? Mahu menghasilkan sukacita? Bantu teman-teman anda yang bukan-kristian mengenal dan mengalami penyelamatan tawaran Yesus. Sangat berbaloilah!
Wednesday, March 23, 2011
Mac 23 - Kira Kos
Kalau mahu ikut Yesus (jadi orang Kristian), kosnya mesti diambil kira terlebih dahulu. Kata Yesus jika kerana memilih untuk mengikut Dia, anda terpaksa mengingkari atau menolak ahli keluarga terdekat bahkan nyawa sendiri, anda mesti bersedia untuk tetap memilih Dia dan sedia hilang perhubungan keluarga bahkan nyawa sendiri. Sediakah?
Jangan cepat berkata ‘Ya, saya sedia’. Nasihat Yesus ialah buat anggaran kos terlebih dahulu, pertimbangkan segala aspek sebelum membuat keputusan untuk mengikut Dia. Kalau tidak orang akan berkata, “Dia tidak sanggup mengikut Yesus” atau “Dia tidak melepaskan diri dari _________ dan kerana itu tidak dapat menjadi murid Yesus.”
Apakah yang anda perlu pertimbangkan sebelum mengikut Yesus? Apakah yang perlu anda lepaskan untuk ikut Yesus sepenuhnya?
Tuesday, March 22, 2011
Mac 22 - Rumah Ku Penuh
Bacaan: Lukas 14:1-24
Bacaan hari ini membuatkan saya terbayang apa yang mungkin terjadi apabila kita menjemput orang untuk menghadiri kebaktian Good Friday dan Easter yang akan datang. Yang pasti ramai akan mempunyai alasan-alasan yang munasabah mengapa mereka tak dapat hadir (ayat 18-20) tetapi Yesus tetap mahu kita berusaha mencari dan menjemput sesiapa sahaja yang sedia menerima jemputan itu - walaupun mereka serba kurang dan tak cukup syarat atau di luar sempadan biasa kita. Pokoknya ialah 'rumahku harus penuh' (ayat 23). membaca ayat ini timbul keinginan supaya melihat Shalom PENUH - masih banyak kerusi yang tidak diduduk orang setiap kali ada kebaktian. Semoga rumah Tuhan penuh. Mari kita keluar dan bawa kalau perlu paksa (mendesak) orang masuk ke Kerajaan Allah/Rumah Tuhan.
Monday, March 21, 2011
Mac 21 - Pintu Syurga
Bacaan: Lukas 13:22-35
Orang Yahudi yang mengikut Yesus ingin tahu apakah sedikit sahaja orang Israel yang akan selamat. Yesus menyeru supaya usaha yang sungguh-sungguh dibuat untuk memastikan seseorang itu selamat kerana akan sampai masa peluang keselamatan berhenti. Mengenal dan menyertai Yesus dalam perjalanannya ke Yerusalem tidak cukup; yang dituntut Yesus ialah pertaubatan. Ramalan Yesus ialah bahawa ramai yang bukan-Yahudi akan berjaya diselamatkan dan mereka yang terakhir mendengar Injil terlebih dahulu membuka hati dan menerima penyelamatan Allah.
Yesus menuju ke Yerusalem dengan sengaja dan mendedahkan bahawa Dia tahu dan bersedia untuk menerima apa yang menunggu Dia di sana - maut. Walaupun begitu Dia menyatakan kerinduan kasihNya terhadap Yerusalem dan betapa Dia ingin supaya Yerusalem menyambut kasihNya. Dia kemudian bernubuat tentang kemusnahan kota Yerusalem dan kedatanganNya buat kali kedua di kota yang sama.
Orang Yahudi yang mengikut Yesus ingin tahu apakah sedikit sahaja orang Israel yang akan selamat. Yesus menyeru supaya usaha yang sungguh-sungguh dibuat untuk memastikan seseorang itu selamat kerana akan sampai masa peluang keselamatan berhenti. Mengenal dan menyertai Yesus dalam perjalanannya ke Yerusalem tidak cukup; yang dituntut Yesus ialah pertaubatan. Ramalan Yesus ialah bahawa ramai yang bukan-Yahudi akan berjaya diselamatkan dan mereka yang terakhir mendengar Injil terlebih dahulu membuka hati dan menerima penyelamatan Allah.
Yesus menuju ke Yerusalem dengan sengaja dan mendedahkan bahawa Dia tahu dan bersedia untuk menerima apa yang menunggu Dia di sana - maut. Walaupun begitu Dia menyatakan kerinduan kasihNya terhadap Yerusalem dan betapa Dia ingin supaya Yerusalem menyambut kasihNya. Dia kemudian bernubuat tentang kemusnahan kota Yerusalem dan kedatanganNya buat kali kedua di kota yang sama.
Sunday, March 20, 2011
Mac 20 - Membesar
Bacaan: Lukas 13:10-21
Saya suka ayat 21 kerana ayat ini dengan terang menjelaskan tahap-tahap pertumbuhan yang saya bayangkan dan harapkan, baik untuk Shalom mahupun untuk pelayanan dan perniagaan saya - bermula dengan kecil, bertumbuh, menjadi pokok dan akhirnya menjadi berkat kepada yang lain. Seperti ungkapan Inggeris yang berbunyi ' do not despise the day of small beginnings' dan saya mahu tambahkan kepada ungkapan itu 'but dream for greater endings'. Amin.
Friday, March 18, 2011
Mac 19 - Apabila Malapetaka Terjadi . . .
Bacaan Lukas 13: 1-9
Satu komen saya sering dengar dari mulut orang Kristian apabila berkomen mengenai satu malapetaka (khususnya buat masa ini - gempa bumi dan tsunami) ialah: "Tuhan sedang menghukum mereka kerana mereka jahat (menyembah berhala, bunuh orang Kristian dsbnya)." Tapi apakah komen itu benar dan wajar dibuat?
Apabila beberapa orang di Galilea dibunuh dan sebuah menara di Siloam jatuh lalu membunuh beberapa orang, komen yang sering didengar ialah mereka 'lebih jahat' maka malapetaka itu terkena mereka. tetapi kata Yesus - "Tidak, jangan fikir mereka lebih jahat. Sebaliknya jadikan peristiwa itu iktibar untuk kamu yang jahat supaya bertaubat!"
Nasihat dan amaran ini disusuli dengan perumpamaan yang bertujuan mendedahkan mesej berikut: malapetaka belum lagi menimpa anda kerana Allah sedang memberi masa untuk anda menghasilkan buah pertaubatan tetapi jika masa kasihan sudah tamat dan anda belum lagi bertaubat, perintah akan diberi "Tebanglah dia".
Sudah berbuah?
Mac 18 - Dipisahkan?
Bacaan: Lukas 12:49-59
Wah, susah betul mahu mentafsir ayat-ayat hari ini! Yang jelas, Yesus menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara ahli-ahli keluarga - iaitu antara mereka yang ikut Yesus dan yang menentang Dia (ayat 51-52). Itu jelas dan memang terjadi.
Juga, panggilan untuk memerhatikan tanda-tanda disekeliling kita dan membuat rumusan dan ramalan dapat saya tangkap (ayat 54-57).
Yang lainnya itu - macam 'melemparkan api ke bumi' dan 'membayar hutangmu sampai lunas' - nampaknya perlu buat kajian dan baca tafsiran orang lain.
Bagaimana dengan anda dari Shalom - apa yang difahami atau dipelajari dari bacaan hari ini?
Wednesday, March 16, 2011
Mac 17 - Sedia Menyambut
Bacaan: Lukas 12:35-48
Saya hairan dengan tahap minat yang ditunjukkan oleh ramai orang kepada tanda-tanda kedatangan Yesus. Setiap kali ada malapetaka yang berlaku, kenyataan pertama yang dibuat ialah, “Inilah tandanya hari sudah mahu kiamat!” Tidak pernah saya dengar kenyataan berikut (yang saya percaya jauh lebih penting dan ditegaskan oleh bacaan hari ini): "Saya mesti berjaga-jaga dan bersiap untuk menerima Yesus kerana Dia sudah hamper datang!”
Bacaan hari ini menegaskan satu hal: kerana Yesus akan datang tetapi kita tidak tahu masanya, kita harus hidup bersedia supaya bila Dia datang, kita didapati sedia menyambut dan melayaniNya.
Janganlah terlalu minat dengan tanda-tanda akhir zaman tetapi lebih berminatlah menyediakan diri untuk akhir zaman dan kepulangan Tuhan kita.
Tuesday, March 15, 2011
Mac 16 - Khuatir
Bacaan: Lukas 12:22-34
Satu malam saya tidak dapat tidur kerana memikirkan beberapa isu yang ditimbulkan tentang misi ke Indonesia dan keperluan kewangan yang mencabar. Saya yakin ramai dari anda juga mengalami masa-masa penuh kekhuatiran dan rasa cemas. Oleh itu bacaan hari ini saya anggap sangat sesuai untuk dijadikan pegangan dan pedoman apabila kekhuatiran melanda.
Satu malam saya tidak dapat tidur kerana memikirkan beberapa isu yang ditimbulkan tentang misi ke Indonesia dan keperluan kewangan yang mencabar. Saya yakin ramai dari anda juga mengalami masa-masa penuh kekhuatiran dan rasa cemas. Oleh itu bacaan hari ini saya anggap sangat sesuai untuk dijadikan pegangan dan pedoman apabila kekhuatiran melanda.
“Janganlah khuatir” ialah jawapan Tuhan setiap kali kita berasa khuatir tetapi sebabnya menarik – Yesus berkata apabila kita khuatir kita sedang menumpukan perhatian kepada hal yang kurang penting (Khuatir tentang makanan? Kata Yesus tubuh yang memerlukan makanan itu lebih penting, ayat 23). Kekhuatiran juga adalah satu petanda kita kurang percaya (ayat 28). Akhirnya Yesus memberi sebab terkuat mengapa anda dan saya tak perlu khuatir – Bapa tahu kita memerlukan ini dan itu (ayat 31) dan kerana Dia tahu, Dia akan membekalkannya. Sementara menunggu, kita diseru terus memberi perhatian kepada hal-hal Tuhan (ayat 31).
Akhirnya, tentang keperluan kewangan, mungkin jawapan Tuhan ialah dalam ayat 33 – jual apa yang dimiliki untuk mendapatkan kewangan yang diperlukan (mana T-shirt saya itu yang boleh saya jual?).
Mac 15 - Semua Terdedah
Bacaan: Lukas 12:1-21
Saya suka betul renungan hari ini kerana ia mengingatkan saya tentang Wikileak - satu usaha oleh Julian Assange untuk memastikan tidak ada yang terselindung antara perhubungan semua kerajaan dan pemimpin dunia. Kepercayaannya adalah supaya semua dilakukan secara terbuka dan terdedah supaya tidak ada korupsi dan salah pakai kuasa mahupun tipu muslihat dalam urusan antara semua badan kerajaan.
Assange tidak perlu takut. Janji Tuhan satu hari nanti semua yang ditutup dan dirahsiakan akan didedahkan dan semua orang akan tahu.
Tetapi apakah gunanya maklumat ini kepada kita? Pertama, kita mesti berjaga-jaga dengan apa yang dirahsiakan kerana tidak ada yang boleh dirahsiakan selamanya. Kedua, kita harus memastikan hidup kita terbuka dan boleh diperiksa oleh sesiapa sahaja dan akhirnya kita harus bergembira kerana kebenaran sebenar akhirnya akan dinyatakan.
Ada simpan rahsia?
Mac 14 - Bersih Di Dalam
Bacaan: Lukas 11:37-54
Ramai orang Kristian, seperti orang Farisi (suku kaum Israel yang kuat beragama), mempunyai imej luaran yang baik dan hebat. Mereka mentaati semua hukum-hukum dan syarat-syarat gereja serta undang-undang penjagaan tubuh. Fokus mereka ialah untuk mentaati semua amalan yang boleh dilihat dengan mata kasar dan boleh dinilai oleh orang lain. Mereka setia dan fanatik mentaati apa yang boleh dilihat dan diukur supaya akan selalu nampak baik dan saleh.
Akan tetapi Yesus berkata LEBIH BAIK lagi kalau perhatian diberi kepada mentaati hukum-hukum Allah yang menuntut perubahan dan perbuatan dalaman yang hanya anda tahu dan boleh ukur/nilai. Sifat-sifat mulia, fikiran-fikiran yang benar serta motivasi hati yang suci - inilah yang lebih dipentingkan dan dituntut Tuhan.
Terlalu ramai orang boleh kelihatan melakukan baik tetapi yang TIDAK KELIHATAN ialah sikap mereka ketika melakukan amalan luaran itu, motivasi hati mereka dan fikiran-fikiran yang terlintas dalam minda mereka sebelum, ketika dan sesudah melakukan amalan agama luaran itu.
Janganlah kita jadi kubur yang cantik - di luar kelihatan indah, di dalam busuk dan jijik.
Mac 13 - Pelita Mata
Bacaan: Lukas 11:33-36
Bacaan hari ini saya sukar untuk fahami. Ayat pertama menerangkan pentingnya tidak menutup pelita yang terang dan ayat seterusnya berkata mata saya pelita terang dan akhirnya ada ajaran tentang tubuh yang terang. Apakah maksudnya semua ini? Saya tidak pasti. Bagaimana dengan anda yang lain dari Shalom - apabila anda membaca ayat-ayat ini apa yang anda fahami dan percaya Tuhan sedang katakan?
Semoga saya mempunyai 'mata yang baik' dan 'badan saya terang'. Imej yang dihasilkan oleh kata-kata ini indah. Saya yakin tidak ada yang mahu terang matanya hilang. Apakah ini bermaksud segala yang saya pandang/lihat dan benarkan masuk melalui tingkap mata saya akan menentukan terangnya hidup saya?
Saya mahu memiliki terang dan sentiasa terang bagi Tuhan. Mungkin jawapannya di mata saya.
Monday, March 14, 2011
Mac 12 - Salah Fokus
Bacaan: Lukas 11:29-32
Dalam kesibukan melakukan banyak perkara kita mungkin terlepas memberi perhatian kepada yang terpenting di sekeliling kita. Contoh yang diberi Yesus menarik kerana ini satu fenomena yang saya sering perhatikan: ramai orang Kristian tertarik dengan mukjizat atau hal pelik yang berlaku tetapi tidak menunjukkan minat yang sama kepada yang lebih penting seperti penyelamatan jiwa dan keagungan Yesus. Manusia mahu lihat mukjizat dan bukannya Tuhan yang melakukan mukjizat itu!
Kisah Ratu Sheba dan Yunus menarik dan memerlukan lebih banyak kajian serta pembacaan. Apakah anda ada lebih maklumat atau pengetahuan tentang dua peribadi ini? Boleh kongsikan?
Mana fokus anda hari ini?
Pelayanan Di Rumah Rachak
Peserta-peserta Kem ISCF di Rh Rachak sedang respons kepada Firman Allah dan gerakan Roh Kudus
Huraian tentang kehidupan dan ajaran Yesus sebelum ke Yerusalem (dalam blog ini) terhalang sebentar kerana saya melayani di Rumah Rachak (rumah panjang Iban) di daerah Pakan selama beberapa hari (tidak ada komputer dan talian internet di sana).
Ajaran tentang 'Bagaimana Menjadi Seorang Kristian' menyebabkan ramai sedar mereka hanya Kristian 'ss' dan ramai membuat keputusan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka.
Ajaran 'Hidup Bagi Kristus' menyedarkan pelajar ISCF yang hadir bahawa mereka "tidak boleh hidup sama sekali seperti orang yang tidak kenal Tuhan". Ramai pelajar bertaubat dari amalan merokok, meminum, menderhaka terhadap ibu bapa serta penggunaan ilmu ghaib.
Akhirnya, ajaran 'BGR - Mengelak Godaan' menyedarkan ramai bahaya sistem 'dating' dan amalan mereka ketika 'berdating' itu sebenarnya dosa seksual.
Thursday, March 10, 2011
Mac 11 - Roh Jahat dan Ketaatan
Bacaan: Lukas 11:14-28
Yesus lebih berkuasa daripada Iblis!
Pemerintahan Allah nyata apabila roh-roh jahat yang mendiami sebuah tempat atau manusia diusir keluar. Apabila Yesus adalah Raja yang berdaulat di dalam hati seseorang, roh jahat tidak ada kuasa untuk melawan. Sesungguhnya kami berdoa, "Datanglah Kerajaan Mu!"
Rahsia mengalami pemberkatan Allah? mendengar dan melakukan Firman Tuhan (ayat 28).
Semoga hari ini semua warga Shalom ada membaca petikan ini dan telah mendapat sesuatu dari Allah serta melakukan apa yang Allah nyatakan. Terus bersama saya mengikut jejak Yesus ke Golgota.
Mac 10 - Hal Doa
Bacaan: Lukas 11:1-13
Murid Yesus meminta supaya diajar berdoa. Dari sini saya simpulkan bahawa doa ialah sesuatu yang boleh diajar dan boleh dipelajari. Bagaimana dengan pembelajaran anda tentang doa? Siapakah yang telah dan sedang mengajar anda berdoa?
Yesus berkata, "Berdoalah seperti ini" (ayat 2). Ini bermaksud ada format atau hal-hal penting yang perlu dinyatakan ketika berdoa. Sesiapa sahaja yang yang memberi perhatian serius kepada apa yang dipanggil 'Doa Yesus' akan sedar ada beberapa hal penting yang mesti didoakan.
Akhirnya, menerusi dialog ini, saya sedar berdoa adalah sesuatu yang Yesus anggap patut dipelajri dan diamalkan. Marilah kita juga belajar bagaimana berdoa dan berdoa (jadi pelaku dan bukan hanya pelajar).
Tuesday, March 8, 2011
Mac 9 - Dengar
Bacaan: Lukas 10:38-42
Kita terlalu sibuk. Saya terlalu sibuk. Ungkapan biasa generasi ini ialah "Saya tidak ada cukup masa, banyak sangat untuk dibuat!"
Yesus berkata: Berhenti sejenak. Ada SATU hal yang penting. Dengar suara saya.
Ada banyak perkara yang baik yang perlu (ada kalanya mesti) dilakukan setiap hari - dari membayar yuran ke menghabis dan menghantar 'assignment' tepat pada waktunya. Tetapi dalam kesibukan melakukan banyak yang baik, kita mungkin (sering?) terlupa melakukan yang TERBAIK - mendiam diri dan mendengar suara Tuhan kita.
Jika anda berjaya berhenti sejenak, membaca Alkitab dengan panduan ODJ Special Edition ini serta merenungkan mesejnya, tahniah, kerana anda baru sahaja telah berhenti sejenak untuk mendengar Allah berkata kepada anda.
Mari berusaha menjadi seperti Maria (ayat 39).
Kita terlalu sibuk. Saya terlalu sibuk. Ungkapan biasa generasi ini ialah "Saya tidak ada cukup masa, banyak sangat untuk dibuat!"
Yesus berkata: Berhenti sejenak. Ada SATU hal yang penting. Dengar suara saya.
Ada banyak perkara yang baik yang perlu (ada kalanya mesti) dilakukan setiap hari - dari membayar yuran ke menghabis dan menghantar 'assignment' tepat pada waktunya. Tetapi dalam kesibukan melakukan banyak yang baik, kita mungkin (sering?) terlupa melakukan yang TERBAIK - mendiam diri dan mendengar suara Tuhan kita.
Jika anda berjaya berhenti sejenak, membaca Alkitab dengan panduan ODJ Special Edition ini serta merenungkan mesejnya, tahniah, kerana anda baru sahaja telah berhenti sejenak untuk mendengar Allah berkata kepada anda.
Mari berusaha menjadi seperti Maria (ayat 39).
Monday, March 7, 2011
Mac 8 - Peduli Siapa?
Bacaan: Lukas 10:25-37
Pandang bulu. Pilih kasih. Prejudis. Sikap yang tidak sesuai untuk orang Kristian ini harus diperangi sungguh-sungguh. Bagaimana? Dengan mengasihi semua manusia yang dikasihi Allah, tanpa bersyarat (ayat 27).
Orang Samaria dihina, dipandang rendah dan dilayani sebagai orang asing yang tidak diterima atau dihormati oleh orang Yahudi. Tetapi orang Samarialah yang mengambil peduli keadaan orang Yahudi yang cedera ditepi jalan. Kita disuruh berlaku seperti orang Samaria. Soalannya: Siapakah 'orang Yahudi' kita - mereka yang menghina, memandang rendah dan melayani kita sebagai orang asing yang tidak diterima atau dihormati? Mereka itulah yang patut menjadi penerima perbuatan-perbuatan kasih kita. Susahkan . . .
Ingatlah - Allah mengasihi semua manusia dan memberkati mereka dengan hujan dan sinar matahari. Seperti Bapa kita di syurga, kita di bumi harus melakukan yang sama. Kasihilah dan ambil peduli akan keadaan 'orang Yahudi' anda.
Pandang bulu. Pilih kasih. Prejudis. Sikap yang tidak sesuai untuk orang Kristian ini harus diperangi sungguh-sungguh. Bagaimana? Dengan mengasihi semua manusia yang dikasihi Allah, tanpa bersyarat (ayat 27).
Orang Samaria dihina, dipandang rendah dan dilayani sebagai orang asing yang tidak diterima atau dihormati oleh orang Yahudi. Tetapi orang Samarialah yang mengambil peduli keadaan orang Yahudi yang cedera ditepi jalan. Kita disuruh berlaku seperti orang Samaria. Soalannya: Siapakah 'orang Yahudi' kita - mereka yang menghina, memandang rendah dan melayani kita sebagai orang asing yang tidak diterima atau dihormati? Mereka itulah yang patut menjadi penerima perbuatan-perbuatan kasih kita. Susahkan . . .
Ingatlah - Allah mengasihi semua manusia dan memberkati mereka dengan hujan dan sinar matahari. Seperti Bapa kita di syurga, kita di bumi harus melakukan yang sama. Kasihilah dan ambil peduli akan keadaan 'orang Yahudi' anda.
Mac 7 - Terlalu Pandai?
Bacaan: Lukas 10:1-24
"Saya sudah tahu." "Saya lebih pandai." "Tak perlu belajar itu - tak penting." Pernahkah anda dengar orang mengatakan ini kepada anda?
Kata Yesus banyak perkara yang hebat dan penting dari Allah 'disembunyikan' oleh Allah dari mereka yang pandai dan yakin segala yang perlu diketahui sudah mereka tahu. Sebaliknya Allah berjanji mendedahkan rahsia-rahsia syurga kepada mereka yang 'seperti anak' (ayat 21).
Bagaimana dengan anda - apakah anda rasa anda sudah faham atau tahu segalanya yang perlu diketahui? Apakah anda ada 'sifat anak' - ingin tahu dan sedar banyak belum diketahui - dan oleh itu setiap hari anda mendapat sesuatu yang baru dari Allah?
Marilah kita merendahkan diri, akur bahawa banyak perlu diketahui (dipelajari) dan nantikan pendedahan dari Allah. Banyak yang Allah mahu nyatakan . . .
Saturday, March 5, 2011
Mac 6 - Tidak Patah balik
Bacaan: Lukas 9:51-62
Tidak mengalah. Setia sampai mati. Melangkah sehingga sampai ke destinasi. Inilah mesej pokok bacaan hari ini.
Yesus menetapkan dalam hatiNya untuk ke Yerusalem, walaupun Dia tahu penderitaan dan maut menunggu. Dia tetap melangkah ke Yerusalem kerana Dia tahu itu rencana (rancangan) Tuhan bagiNya.
Apabila Yesus memanggil kita untuk ikut Dia, Dia juga menuntut ketetapan dan sikap tidak mengalah ini. Walaupun mengikut Yesus mungkin melibatkan penderitaan dan maut, kerana yakin panggilan dan rencana Allah, kita tetap dan terus mengikut Yesus sehingga akhir hayat.
Ingat: jangan pandang balik. Jalan terus!
Tidak mengalah. Setia sampai mati. Melangkah sehingga sampai ke destinasi. Inilah mesej pokok bacaan hari ini.
Yesus menetapkan dalam hatiNya untuk ke Yerusalem, walaupun Dia tahu penderitaan dan maut menunggu. Dia tetap melangkah ke Yerusalem kerana Dia tahu itu rencana (rancangan) Tuhan bagiNya.
Apabila Yesus memanggil kita untuk ikut Dia, Dia juga menuntut ketetapan dan sikap tidak mengalah ini. Walaupun mengikut Yesus mungkin melibatkan penderitaan dan maut, kerana yakin panggilan dan rencana Allah, kita tetap dan terus mengikut Yesus sehingga akhir hayat.
Ingat: jangan pandang balik. Jalan terus!
Friday, March 4, 2011
Shalom dan Selamat Merenung
Shalom dan terima kasih kerana melawat blog ini untuk mencoret sedikit apa yang anda telah pelajari sesudah membaca, merenung dan mempelajari sesuatu daripada renungan ODJ (Special Easter Edition) hari ini. Semoga apa yang ditulis di sini akan membangun iman dan mendorong anda untuk bertuankan Yesus serta menikmati hidup bersamaNya!
Subscribe to:
Posts (Atom)