Bacaan: Lukas 23:44-56
3 jam matahari tidak bersinar – gerhana matahari? – langit di atas tempat Yesus disalibkan menjadi gelap seolah-olah tidak sanggup membakar Tuhan yang menciptakannya atau mungkin mahu menyesuaikan latarbelakang dengan apa yang sedang berlaku pada saat itu. Yang pasti ‘matahari tidak bersinar’ bukan satu fenomena biasa.
Tabir terbelah dua – tabir di bait Suci yang berat dan tebal, yang digantung untuk menandakan kawasan larangan (hanya imam besar setahun sekali boleh masuk ke sebalik tabir itu untuk mempersembahkan korban dosa) – membenarkan semua manusia sekarang masuk ke hadirat Allah yang maha suci kerana korban dosa yang sempurna telah dipersembahkan – tidak perlu lagi kita sembelih domba atau sapi (kambing biri-biri atau lembu, seperti yang masih dilakukan oleh sesetengah agama monoteistik sampai hari ini).
Yesus menyerahkankan nyawanya – Yesus mati dan mati secara sukarela.
Ketua pasukan askar Romawi mengaku Yesus orang benar; penonton-penonton penyaliban Yesus balik berasa menyesal (memukul-mukul diri); mereka yang kenal Yesus ‘berdiri jauh-jauh’. Tiga reaksi yang berbeza dari tiga kumpulan yang menyaksikan penyaliban Yesus. Mengapa reaksi yang berbeza-beza ini? Apakah reaksi anda kepada penyaliban Yesus?
Di dalam Majlis Agung (majlis yang menuntut kematian Yesus, terdiri dari orang Farisi, ahli Taurat dsbnya) ada seorang pengikut Yesus – Yusuf Arimatea. Dia meminta mayat Yesus dari Pilatus, menurunkan mayat Yesus dari salib, membungkus (mengapani) mayat Yesus dan membaringkan mayat Yesus dalam kubur baru (lubang yang digali di dalam bukit batu). Semua ini siap sebelum jam 6 petang, hari Jumaat (lihat ayat 54).
Proses penkebumian Yesus diperhatikan juga oleh perempuan-perempuan dari Galilea (Yesus ada ramai pengikut wanita yang setia pada masa itu pun!) – mereka saksi dimana kubur itu dan bagaimana Yesus dibaringkan. Pengkebumian Yesus tidak dilakukan tanpa saksi – ini penting untuk apa yang akan terjadi beberapa hari sesudah ini.
No comments:
Post a Comment