Monday, April 18, 2011

April 18 - Mati! Mati! Mati!

Bacaan: Lukas 22:66 – 23:25

Jawapan Yesus bahawa Dia ‘duduk di sebelah kanan Allah yang Maha Kuasa’ difahami oleh musuh-musuh Yesus (yang berpengetahuan dalam selok-belok agama) sebagai pengakuan dari mulut Yesus sendiri yang Dia adalah Anak Allah – satu fahaman yang tidak dinafikan oleh Yesus (ayat 70). Musuh Yesus sangat arah dengan pengakuan Yesus ini.
Perhatikan tuduhan orang beragama tentang Yesus (23:2) – ada yang benar dan ada yang dibelitkan sedikit. Ini selalunya taktik penuduh-penuduh Yesus. Awas . . .
Pilatus tidak mendapati Yesus bersalah atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadaNya. Didesak untuk melakukan sesuatu yang dia tidak ingini, Pilatus melemparkan “masalahnya” kepada Raja Herodes yang tidak membuat apa-apa keputusan tetapi sebaliknya melayani Yesus dengan kurang ajar.
Ada orang yang seperti Raja Herodes – mereka mahu berjumpa/lihat Yesus kerana sering mendengar tentangNya dan harap untuk melihat mukjizat/kuasa Yesus. Mereka juga ada banyak soalan yang mahu ditanya. Akan tetapi apabila mukjizat tidak kelihatan dan soalan tidak terjawab, mereka berubah menjadi penista dan pengolok Yesus.
Pemimpin-pemimpin agama dan orang awam yang mudah dipengaruhi oleh pemimpin agama semakin lama menjadi semakin bising dan mendesak tindakan dari Pilatus, yang walaupun mengaku Yesus tidak bersalah, akhirnya menggunakan satu tradisi masa itu untuk membuka jalan supaya Yesus dibunuh walaupun Dia tidak bersalah. Hari ini desakan yang kuat dan bising oleh pemimpin-pemimpin agama yang benci orang Kristian dan mahu mereka dibendung mahupun dibunuh masih lagi kedengaran. Mereka banyak kali berjaya menghasut rakyat biasa untuk mogok dan bertindak ganas menyeru tindakan yang berat dikenakan atas orang Kristian yang tidak bersalah. Banyak kali pemimpin negara akan akur kepada teriakan dan tuntutan rakyat yang telah dihasut oleh pemimpin agama mereka. Semoga hal ini tidak terjadi di Malaysia tetapi kalau terjadi, anggaplah ini ulangan kisah Yesus . . .

No comments:

Post a Comment