Monday, April 25, 2011

April 22 - Semuanya Jelas

Bacaan: Lukas 24:13-35

Yesus mendekati dua orang murid yang berjalan menuju Emmaus tetapi mereka tidak mengenal Yesus. Alkitab berkata 'ada sesuatu yang menghalangi mata mereka'. Apa gaknya penghalang ini? Apakah ramai orang Kristian (dan bukan-Kristian) juga mengalami halangan ini sehingga tidak 'nampak' Yesus?
Murid Yesus muram; Yesus dipanggil nabi yang hebat dan luarbiasa dan penyalibanNya diakui oleh mereka. Mereka harap Yesus membebaskan Israek dari penjajahan Romawi (satu harapan biasa orang Yahudi tentang Mesias; walaupun salah) tetapi itu tidak terjadi. Sebaliknya Dia mati! Kisah kebangkitan Yesus diragui dan tidak dipercayai. Inilah keadaan dua murid Yesus ini - muram, salah percaya, salah harap dan tidak percaya!
Tidak hairanlah Yesus menegur mereka dan memanggil mereka 'bodoh dan lamban hati'! Sesudah itu Yesus mula menjelaskan fahaman dan ajaran sebenar tentang Mesias dari Perjanjian Lama khususnya tentang kematian dan kebangkitan Mesias. Carilah dan perhatikanlah ajaran dalam Perjanjian Lama - memang bermanfaat untuk mengajar dengan lengkap/penuh semua tentang Mesias dan kerjanya sebagai Penyelamat. Itu sebabnya Alkitab kita ada Perjanjian Lama dan mesti dipelajari dan difahami.
Sesudah disuruh bersama mereka untuk makan, Yesus bersetuyju dan ketika Dia mengucap syukur dan memecah roti, sesuatu terjadi - mereka celik dan sedar lelaki bersama mereka itu adalah Yesus! Kemudian dikatakan Yesus 'LENYAP'!!! Apa yang terjadi? Apakah Yesus hilang secara fizikal tiba-tiba? Jika 'ya', maka jelaslah tubuh Yesus yang bangkit itu walaupun ada darah dan daging, sangat istimewa dan berbeza dari tubuh fizikal biasa.
Mereka pun kembali ke Yerusalem dan terus menambahkan kesaksian mereka kepada kesaksian-kesaksian lain yang sudah pun kedengaran di kota Yerusalem - Tuhan telah bangkit!
Bagaimana dengan anda? Sudah 'melihat' kebenaran itu bahawa Yesus telah bangkit?


Saturday, April 23, 2011

April 21 - Orang Mati Hidup Kembali!

Bacaan: Lukas 24:1-12

Yesus bangkit pada hari Ahad (ingat bahawa Sabat disambut pada hari Sabtu oleh penganut agama Yahudi) – ‘pagi-pagi benar pada hari pertama minggu’, iaitu sesudah Sabtu berakhir, keesokan harinya, awal pagi.
Fakta: mayat Yesus tidak ditemukan di dalam lubang kubur di mana ianya ditempatkan pada hari Jumaat (ayat 3). Apakah yang terjadi kepada mayat Yesus? Jawapan dari dua orang yang memakai pakaian berkilau-kilau ialah: Mengapa mencari Dia yang hidup antara orang yang mati? Ia telah bangkit! (ayat 5-6). Ini semua mereka katakan sesuai dengan pengakuan dan ramalan Yesus sendiri sebelum Dia disalibkan.
Kejadian ini dilaporkan kepada kesebelas murid Yesus. Penginjil-penginjil (penyampai Berita Baik) pertama tentang kebangkitan Yesus ialah wanita-wanita penting dalam hidup Yesus termasuklah ibunya sendiri, Maria, tetapi peliknya cerita mereka dianggap omong kosong (cakap Indonesialah) dan tidak dipercayai.
Walaupun begitu Petrus telah membuat tinjauan untuk melihat sendiri apa yang terjadi. Dia menemukan kain kapan yang dipakai untuk membalut Yesus masih di dalam kubur itu, ditempat Yesus dibaringkan, tanpa diganggu; CUMA tidak ada mayat di tengah-tengah balutan kain kapan itu!
Inilah keajaiban kebangkitan Yesus. Inilah kehebatan kebangkitan Yesus!

Friday, April 22, 2011

April 20 - Mati dan Dikebumikan

Bacaan: Lukas 23:44-56

3 jam matahari tidak bersinar – gerhana matahari? – langit di atas tempat Yesus disalibkan menjadi gelap seolah-olah tidak sanggup membakar Tuhan yang menciptakannya atau mungkin mahu menyesuaikan latarbelakang dengan apa yang sedang berlaku pada saat itu. Yang pasti ‘matahari tidak bersinar’ bukan satu fenomena biasa.
Tabir terbelah dua – tabir di bait Suci yang berat dan tebal, yang digantung untuk menandakan kawasan larangan (hanya imam besar setahun sekali boleh masuk ke sebalik tabir itu untuk mempersembahkan korban dosa) – membenarkan semua manusia sekarang masuk ke hadirat Allah yang maha suci kerana korban dosa yang sempurna telah dipersembahkan – tidak perlu lagi kita sembelih domba atau sapi (kambing biri-biri atau lembu, seperti yang masih dilakukan oleh sesetengah agama monoteistik sampai hari ini).
Yesus menyerahkankan nyawanya – Yesus mati dan mati secara sukarela.
Ketua pasukan askar Romawi mengaku Yesus orang benar; penonton-penonton penyaliban Yesus balik berasa menyesal (memukul-mukul diri); mereka yang kenal Yesus ‘berdiri jauh-jauh’. Tiga reaksi yang berbeza dari tiga kumpulan yang menyaksikan penyaliban Yesus. Mengapa reaksi yang berbeza-beza ini? Apakah reaksi anda kepada penyaliban Yesus?

Di dalam Majlis Agung (majlis yang menuntut kematian Yesus, terdiri dari orang Farisi, ahli Taurat dsbnya) ada seorang pengikut Yesus – Yusuf Arimatea. Dia meminta mayat Yesus dari Pilatus, menurunkan mayat Yesus dari salib, membungkus (mengapani) mayat Yesus dan membaringkan mayat Yesus dalam kubur baru (lubang yang digali di dalam bukit batu). Semua ini siap sebelum jam 6 petang, hari Jumaat (lihat ayat 54).
Proses penkebumian Yesus diperhatikan juga oleh perempuan-perempuan dari Galilea (Yesus ada ramai pengikut wanita yang setia pada masa itu pun!) – mereka saksi dimana kubur itu dan bagaimana Yesus dibaringkan. Pengkebumian Yesus tidak dilakukan tanpa saksi – ini penting untuk apa yang akan terjadi beberapa hari sesudah ini.

Wednesday, April 20, 2011

April 19 - Salib Ke Golgota

Bacaan: Lukas 23:26-43

Beberapa pendapat, soalan dan coretan idea dari saya sesudah merenung bacaan hari ini:

Siapakah Simon dari Kirene? Mengapakah dia disuruh memikul salib Yesus? Apakah kesan pengalaman ini atas Simon? Apakah yang terjadi kepadanya sesudah peristiwa ini? Banyak soalan tetapi apakah jawapannya . . .
Ramai wanita mengikut Yesus dan meratapi keadaanNya. Hal ini masih sama hari ini. Dalam banyak kelompok Kristian yang jelas nampak ialah sejumlah wanita yang besar yang ‘menjiwai’ Yesus dengan sungguh-sungguh. Kenapa agaknya ini berlaku ?
Dua penjahat mengongsi ‘spotlight’ dengan Yesus lalu memberi gambaran kepada kita siapa yang biasanya disalibkan dan keadaan mereka. Walaupun penjahat, seorang daripada mereka menyedari identiti Yesus dan membuat pengakuan yang memastikan tempatnya di syurga; yang seorang lagi menghujat dan mencabar Yesus. Hari ini semua manusia berdosa memilih satu daripada dua respons yang sama: mengakui Yesus sebagai Raja yang tidak berdosa dan menerima penyelamatan atau menghujat dan mencabar Yesus lalu menerima apa yang sememangnya telah dimiliki, hukuman dari manusia dan Allah.
Yesus mengampuni semua yang terlibat dalam penyalibanNya baik secara langsung mahupun tidak. Dia datang buat kali pertama bukan untuk menghukum tetapi untuk mengampuni manusia yang berdosa. Yesus sedia mengampuni.
Ramai yang menyeru dan menghujat Yesus untuk menyelamatkan diriNya. Ironinya ialah Yesus sedang disalibkan untuk menyelamatkan mereka yang  sedang menghujatNya! Mereka ini tidak sedar mereka perlu diselamatkan dan bahawa Yesus sedang melakukan operasi penyelamatan yang paling menakjubkan di dunia. Betapa buta dan jahilnya manusia . . .
Yesus Raja – baik raja Yahudi mahupun raja semua manusia. Apakah Dia raja anda juga? Yesus adalah Kristus – apakah ini pengakuan anda juga?
Akhirnya, apa itu Firdaus? Syurga? Kerajaan Allah di luar dunia ini? Janji Yesus kepada penjahat yang mengaku bahawa Yesus Raja dan Kristus ialah bahawa dia akan bersamaNya di Firdaus (ayat 43). Ada komen?

Monday, April 18, 2011

April 18 - Mati! Mati! Mati!

Bacaan: Lukas 22:66 – 23:25

Jawapan Yesus bahawa Dia ‘duduk di sebelah kanan Allah yang Maha Kuasa’ difahami oleh musuh-musuh Yesus (yang berpengetahuan dalam selok-belok agama) sebagai pengakuan dari mulut Yesus sendiri yang Dia adalah Anak Allah – satu fahaman yang tidak dinafikan oleh Yesus (ayat 70). Musuh Yesus sangat arah dengan pengakuan Yesus ini.
Perhatikan tuduhan orang beragama tentang Yesus (23:2) – ada yang benar dan ada yang dibelitkan sedikit. Ini selalunya taktik penuduh-penuduh Yesus. Awas . . .
Pilatus tidak mendapati Yesus bersalah atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadaNya. Didesak untuk melakukan sesuatu yang dia tidak ingini, Pilatus melemparkan “masalahnya” kepada Raja Herodes yang tidak membuat apa-apa keputusan tetapi sebaliknya melayani Yesus dengan kurang ajar.
Ada orang yang seperti Raja Herodes – mereka mahu berjumpa/lihat Yesus kerana sering mendengar tentangNya dan harap untuk melihat mukjizat/kuasa Yesus. Mereka juga ada banyak soalan yang mahu ditanya. Akan tetapi apabila mukjizat tidak kelihatan dan soalan tidak terjawab, mereka berubah menjadi penista dan pengolok Yesus.
Pemimpin-pemimpin agama dan orang awam yang mudah dipengaruhi oleh pemimpin agama semakin lama menjadi semakin bising dan mendesak tindakan dari Pilatus, yang walaupun mengaku Yesus tidak bersalah, akhirnya menggunakan satu tradisi masa itu untuk membuka jalan supaya Yesus dibunuh walaupun Dia tidak bersalah. Hari ini desakan yang kuat dan bising oleh pemimpin-pemimpin agama yang benci orang Kristian dan mahu mereka dibendung mahupun dibunuh masih lagi kedengaran. Mereka banyak kali berjaya menghasut rakyat biasa untuk mogok dan bertindak ganas menyeru tindakan yang berat dikenakan atas orang Kristian yang tidak bersalah. Banyak kali pemimpin negara akan akur kepada teriakan dan tuntutan rakyat yang telah dihasut oleh pemimpin agama mereka. Semoga hal ini tidak terjadi di Malaysia tetapi kalau terjadi, anggaplah ini ulangan kisah Yesus . . .

April 17 - Kamu Kristian?

Bacaan: Lukas 22:54-65

Apabila keadaan senang, mudah untuk seseorang itu mengaku dirinya Kristian tetapi apabila keadaan susah dan adalah berbahaya jika seseorang itu diketahui beragama Kristian, ada yang menyangkal Yesus dan berkata, “Aku tidak mengikut Yesus”. Seperti Petrus semoga mereka ini juga akan mengalami teguran ‘ayam berkokok’ dan bertaubat dari kesaksian palsu mereka itu. Janganlah kita seperti Petrus - ketika dalam situasi di mana mengaku kita Kristian akan membawa kesan negatif, marilah kita dengan berani mengaku, “Ya, aku kenal Dia. Apa yang engkau katakan benar. Aku seorang daripada mereka yang bersama Yesus!”

April 16 - Apabila Musuh Menyerang

Bacaan: Lukas 22:47-53

Dua cara untuk menyambut serangan musuh – dengan rasa panik dan keganasan atau dengan tenang dan penuh pengawalan diri – inilah yang saya lihat dalam kisah penahanan Yesus di taman Getsemane. Petrus menyerang dan mencederakan orang yang jahat, Yesus pula menyembuhkan dan menegur dengan tenang. Mengapa ini mungkin? Kerana Yesus memahami masa dan kuasa yang bekerja pada saat itu – ‘inilah saat kamu, dan inilah kuasa kegelapan itu’. Biarlah kita juga respons dengan cara yang sama kerana sedar hal yang sama juga.

Friday, April 15, 2011

April 15 - Kuasa Doa

Bacaan: Luka 22:39-46

Tidak ramai sedar bahawa berdoa adalah satu cara yang berkesan untuk mengatasi godaan - seruan dari luar atau dalam seseorang untuk tidak mengikut kehendak Tuhan. Setelah memberi nasihat/amaran ini, Yesus sendiri mengilustrasi kenyataanNya apabila Dia sendiri mengatasi godaan untuk tidak ke salib dengan berdoa dengan sungguh-sungguh. Hasil doaNya, Dia bukan hanya menyerah kepada kehendak Tuhan tetapi menerima bantuan luarbiasa dari syurga. Ini juga harus menjadi inspirasi kita - lebih kuat godaan, lebih kuat doa yang harus kita panjatkan (dengan sungguh-sungguh). Insyallah, bantuan luarbiasa dari Tuhan akan kita terima juga. mari berdoa . . .

Thursday, April 14, 2011

April 14 - Domba dan AjaranNya

Bacaan: Lukas 22: 1-38

Imam dan ahli Taurat mahu membunuh Yesus. Tawaran Yudas untuk mengkhianati Yesus ibaratkan bulan jatuh atas riba. Walaupun begitu, saya tertanya mengapa Lukas menulis frasa ini ketika menerangkan perubahan dalam Yudas – “maka masuklah Iblis ke dalam Yudas” Implikasi pemahaman ini serta tafsiran yang betul (saya pasti) akan menjawab banyak soalan tentang pengkhianatan yang dilakukan Yesus tetapi pada saat penulisan blog ini saya belum menemukan penjelasan yang memuaskan hati saya . . .

Sampai masanya domba Paskah disembelih – tanpa disedari ramai Yesus (Domba Allah) juga tidak lama lagi akan ‘disembelih’ dan akhirnya apa yang digambarkan oleh domba Paskah menjadi realiti dalam kehidupan Yesus.
Sekali lagi Yesus memberi arahan, mirip nubuatan, dan ada (sekali lagi) orang yang mahu mematuhi dan mengiakan permintaan Yesus.
Perayaan Paskah malam itu diberi pengertian baru oleh Yesus – roti dan anggur sekarang menjadi lambang badanNya yang dimusnahkan dan darahNya yang dicurahkan untuk memeterai Perjanjian Baru antara Tuhan dan manusia. 

Malam itu Yesus mengajar – dikatakan apa yang diajar oleh seseorang sebelum dia meninggal dunia adalah yang paling penting bagi orang itu – beberapa syarat penting untuk setiap orang Kristian:
  • Bertindak macam orang baru mula dan sebagai pelayan (ayat 26)
  • Bila jatuh dan kemudiannya insaf, kuatkan saudara lain (ayat 32)
  • Ada masa wang diperlukan ketika melayani Tuhan, ada masa hanya beriman (ayat 35-36)


Satu lagi soalan susah – apa tafsiran dan pengertian betul tentang perlunya membeli pedang dan mengapa Yesus berkata dua pedang cukup?

April 13 - Lagi Hal Akhir Dunia

Bacaan: Lukas 21:5-38

Nubuatan Yesus tentang kemusnahan Yerusalem terjadi beberapa tahun kemudian (ayat 5-6, 20-24).

Yesus juga berkata
  1. Awas jangan sesat bila memberi perhatian kepada soalan, “Bila akhir zaman akan berlaku?”
  2. Ramai orang akan mengaku mereka Yesus atau Kristian dan berkata, “Saatnya sudah dekat” (tahun 2012 tarikh terbaru) – jangan ikut mereka ini!
  3. Peperangan, gempa bumi, penyakit berjangkit, kelaparan, tanda menakutkan di langit, penganiayaan orang Kristian dan banyak lagi akan terjadi – jangan terkejut
  4. Semua ini TIDAK BERERTI kesudahan akan SEGERA datang!!!
  5. Semua ini tanda Kerajaan Allah semakin dekat


Penganiayaan orang Kristian pasti – janji Yesus, Dia akan membantu kita bercakap membela diri; amaran Yesus, ada yang akan mati, ramai akan dibenci dan diserahkan oleh ahli keluarga sendiri tetapi kita mesti bertahan.

Kedatangan Yesus kali kedua – datang dalam awan dengan penuh kemuliaan (ayat 27)

Tuesday, April 12, 2011

April 12 - Siapa Saya, Berapa Beri?

Bacaan: Lukas 20:41-21:4

Yesus berusaha dengan keras dalam petikan ini untuk menunjukkan kepada orang Yahudi bahawa Mesias bukan seorang manusia – bukan hanya anak raja Daud – tetapi Tuhan. Menggunakan ayat dari Mazmur tentang Mesias yang diketahui ramai, Yesus cuba membuka pengertian kumpulan orang ramai yang mengelilinginya bahawa jika mereka anggap Dia sebagai Mesias mereka harus sedar apa yang disedari oleh raja Daud – Mesias bukan hanya dari keturunan manusia tetapi adalah peribadi yang bersekutu dengan Tuhan (bau-bau bacang Triniti ada dalam kenyataan Yesus ini juga).
Sesudah ini Yesus sekali lagi menegur kesalahan orang Farisi – keangkuhan mereka, amalan menunjuk-nunjuk, kegagalan mematuhi hukum Allah dan ketidakpedulian terhadap orang miskin – dan mengingatkan pengikutNya supaya jangan jadi macam mereka. Amaran ini mesti kita beri perhatian hari ini juga kerana masih ramai orang Kristian bersifat Farisi!
Akhirnya hal memberi – siapa yang memberi lebih banyak kepada Tuhan? Jika dipandang jumlah wang yang diberi, sememangnya orang kaya akan selalu menang kerana memberi jumlah yang besar bukan satu masalah. Akan tetapi Yesus tidak melihat jumlah yang diberi tetapi dari mana wang itu diambil dan jumlah pemberian berbanding dengan keseluruhan wang yang tinggal.
Wanita tua yang memberi dua peser dikatakan adalah pemberi terbesar kerana dua peser itu diambil dari wangnya yang sedikit dan jumlah pemberiannya berbanding wang yang tinggal ialah 100% - dia memberi dari kekurangan dan dia memberi seluruh nafkahnya.
Orang kaya dikatakan memberi dari kelimpahannya – dari ekstranya - dan pasti tidak memberi seluruh nafkahnya (mungkin 0.01% sahaja).
Bagaimana dengan pemberian anda – dari apa yang ada atau dari ekstra yang ada? Berapa peratus dari keseluruhan wang yang ada (wanita tua beri 100%)?

Monday, April 11, 2011

April 11 - Hidup Lagi!

Bacaan: Lukas 20:27-40

Orang yang telah mati akan hidup semula - kebangkitan - adalah satu daripada akidah asas agama Kristian. Hari ini, seperti juga pada zaman Yesus, ada orang yang percaya apabila seseorang itu mati maka akhirlah kewujudannya. Dengan erti kata lain, mereka tidak percaya ada kehidupan sesudah mati dan tidak ada kemungkinan orang yang telah mati kembali hidup seperti sediakala. Mereka ini mempunyai bantahan mereka sendiri serta senario-senario buat-buat untuk menunjukkan bahawa kebagkitan itu mustahil dan tidak masuk akal. Walaupun begitu jawapan Yesus kepada orang Saduki (mereka yang tidak percaya dalam kebangkitan) mendedahkan bukan hanya kepercayaan Yesus akan hal ini tetapi beberapa maklumat tentang keadaan mereka yang dibangkitkan satu hari nanti:

  1. Ada dunia lain yang ditujui oleh mereka yang sudah mati
  2. Tidak ada kahwin-mengahwin di dunia ini
  3. Mereka ini tidak dapat mati lagi
  4. Mereka sama seperti malaikat
  5. Mereka adalah anak-anak Tuhan
Juga Yesus memberi satu contoh untuk membuktikan mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup. Dia menggunakan frasa yang biasa dipakai oleh orang Israel apabila merujuk kepada Allah: Allah Abraham, Ishak dan Yusuf. Dalam bahasa Inggeris ianya lebih jelas: I am the God of Abraham dan bukan I was the God of Abraham. Allah tetap Tuhan Abraham kerana Abraham tetap ada. Itu sebabnya ayat 38 sungguh menggalakkan: Di hadapan Tuhan semua orang hidup!

Sunday, April 10, 2011

April 10 - Awas! Soalan Licik Di Hadapan

Bacaan: Lukas 20:20-26

Betapa liciknya musuh-musuh Yesus – cara mereka menyamar dan menanya soalan hebat sekali. Akan tetapi, Yesus yang tahu isi hati manusia tahu tujuan soalan-soalan mereka. Ini juga satu pelajaran untuk kita anak-anak Tuhan: banyak soalan yang ditanya sebenarnya bukan dari orang yang ingin tahu tetapi dari mereka yang mahu menjerat kita dan menggunakan jawapan kita untuk menyusahkan mahupun memalukan kita. Bijaklah ketika menjawab soalan-soalan seperti itu. 
Baru-baru ini seorang pelajar dari sebuah IPT memberitahu saya bahawa pensyarah dia menyuruh kelas dia menulis satu kertas kerja perbandingan peranan dan layanan wanita dalam Al-Quran dan Alkitab. Saya terfikir, “Sejak bilakah soalan seperti ini relevan dalam kursus di universiti dan di manakah akan pelajar-pelajar Kristian akan dapatkan jawapan Alkitabiah yang baik dan betul?” Jelas soalan ini bukan untuk mengetahui tetapi untuk menguji. Ini menjadi ketara apabila pembentangan kertas kerja pelajar Kristian disusuli dengan soalan-soalan di luar topik yang bertujuan menghina dan memalukan orang Kristian dan pemahaman Kitab mereka. Awas – hari ini masih ada orang licik yang menanyakan soalan bertujuan menjerat kita.
Di Sarawak minggu ini, bahang pilihan raya semakin hangat dan sesuailah jawapan Yesus diberi perhatian dan renungan serius: Berikanlah kepada Kaisar (pemerintah manusia pada masa itu) apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Allah apa yang wajib kamu berikan kepada Allah!” Ada apa-apa pendapat atau komen akan kenyataan Yesus ini?

April 9 - Kuasa Dari Mana?

Bacaan: Lukas 20:1-19

“Dengan kuasa manakah Engkau melakukan hal-hal itu dan siapa yang memberikan kuasa itu kepadamu?” Ini satu soalan yang hebat dari musuh-musuh Yesus dan satu soalan yang mesti kita yakini jawapannya. Ini juga satu soalan yang mesti ditujukan kepada semua orang Kristian yang melakukan ini dan itu untuk Tuhan kerana jawapan yang diberi mestilah sama dengan jawapan yang diberikan oleh Yesus. Masalahnya, jawapan Yesus dalam petikan hari ini berbunyi: Aku juga tidak mengatakan kepadamu dengan kuasa manakah Aku melakukan hal-hal itu. Apa pendapat anda – dengan kuasa manakah dan dari manakah kuasa Yesus dan orang Kristian apabila mereka melakukan sesuatu?
Perumpamaan dalam petikan ini adalah satu daripada perumpamaan paling jelas tentang Yesus – identitiNya dan tugasNya – menyentuh kejahatan orang Israel (dan manusia sejagat), kesabaran dan tuntutan Tuhan serta hukuman Allah. Ayat 13-15 dengan terang merujuk Yesus sebagai Anak Tuhan dan mendedahkan rencana membunuh Yesus yang tidak lama lagi akan terjadi. Ayat 16 sangat penting kerana di sini Yesus memberi petanda bahawa Injil dan tawaran keselamatan serta peluang ‘mengurus ladang anggur Tuhan’ akan diberikan (dipercayakan) kepada orang bukan-Israel (manusia dari semua bangsa dan negara). Tuduhan Yesus hanya nabi kepada bangsa Israel dan Injil hanya untuk orang Yahudi jelas ditempis dalam ayat ini.
Akhir kata, kata-kata Yesus ini semakin mengusik jiwa musuh-mushNya dan mendorong mereka untuk menjayakan rencana mereka untuk membunuh Yesus. 

Friday, April 8, 2011

Buat Apa Dengan Rumah Ini?

Bacaan: Lukas 19:45-48

Bait Allah (Rumah Tuhan = tempat sembahyang orang Yahudi) telah disalahpakai oleh orang Israel. Mereka mengeksploitasi orang miskin dan mencari keuntungan peribadi dari amalan rohani. Juga mereka menyalahgunakan ruangan rumah Tuhan untuk aktiviti yang tidak sesuai. Bagaimana dengan penggunaan bangunan sembahyang kristian hari ini? Apakah Bait Allah sinonim untuk bangunan gereja? Kalau ya, soalan yang perlu ditanya ialah "Apakah cara ruangan bangunan gereja dipakai sesuai dengan apa yang diingini oleh Yesus?"
Juga, dalam Alkitab, tubuh fizikal kita dipanggil "bait Allah", jadi soalannya ialah "Jika Yesus hadir apakah Dia senang dengan apa yang Dia lihat pada dan dalam badan kita ini; cara kita menggunakan tubuh kita?" Jangan kita salah pakai tubuh kita tetapi sebaliknya memuliakan Yesus.
Bagaimana bangunan gereja dan tubuh kita boleh dijadikan "rumah doa"? Saya nantikan respons warga Shalom . . .

Thursday, April 7, 2011

April 7 - Hosanna!

Bacaan: Lukas 19:28-44

Kisah menarik dan pelik juga - masuknya Yesus ke Yerusalem dan nyanyian/teriakan penduduk Yerusalem - Hosanna - kerana memangdang Yesus Raja dan Mesias yang dijanjikan dalam Zakaria 9:9.
Yesus mendahului perjalanan ke Yerusalem - hebat! walaupun tahu maut menunggu, Dia jalan di depan tanpa takut atau was-was. Kena jadi pemimpin macam ini bila cabaran menanti di depan.
Satu sifat keilahian Yesus - tahu apa yang ada dan akan terjadi walaupun tidak ada atau pernah di sana (Mahatahu).
Hairan juga tuan punya anak kaldai itu membenarkan kaldainya diambil apabila jawapan "Tuhan memerlukannya" diberi. Apakah tuan ini pengikut Yesus juga? 
Orang di Yerusalem menerima Yesus sebagai Raja yang akan membebaskan mereka dari pemerintahan Rom. Kita juga mesti awas tidak menerima Yesus supaya sesuai dengan harapan kita - orang di Yerusalem mahu bebas dari orang Rom jadi mereka memerlukan Raja Yesus tetapi mereka tidak mahu menerima Dia sebagai Kristus dan Anak Allah. Ramai orang mahu menerima Yesus sebagai Penyembuh (supaya tak sakit), Pemberkat (supaya jadi kaya) pemberi damai (supaya ada kedamaian) dan seterusnya. tapi ingat: Yesus mesti diterima sebagai Tuhan dan Penyelamat. Siapa Yesus kepada anda?
Yesus nangis bila Dia lihat Yerusalem kerana Dia tahu malapetaka yang akan melanda kota itu. Hari ini saya yakin Yesus terus menangisi banyak kota kerana Dia tahu apa yang akan terjadi - apakah kita juga menangisi kota kita?

April 6: Mari Melabur

Bacaan: Lukas 19: 11-27

Ah! Satu petikan yang saya suka (favourite) kerana ajaran di sini jika dipraktikkan akan membahagiakan anda dan ramai orang lain. 
Yesus telah kembali di syurga dan akan kembali sebagai Raja dan hakim dunia. Sementara itu, Dia telah memberikan kepada semua rakyatnya (umat Kristian yang di dalam Kerajaan Allah) 'mina' untuk dipakai dengan bijak. Saya bersyukur saya ada mina dari Tuhan yang boleh berganda jika dipakai dengan betul. Sebagai pengguna 'mina' Allah saya diharapkan untuk melabur atau meniagakan mina itu sehingga akan penggandaan. Ini juga nasihat baik untuk sesiapa yang ada wang - laburkan atau berniaga, insyallah wang anda akan berganda!.
Semua 'mina' pemberian Tuhan mesti dipakai dengan baik - untuk kemajuan sendiri, untuk kemajuan orang lain dan akhirnya untuk Kerajaan Allah yang akan datang.
Peliknya, pelaburan ini tidak membawa keuntungan kepada Tuhan - semuanya untuk kebaikan kita! Keuntungan yang kita dapat dikembalikan kepada kita dan ditambahkan dengan berkat yang lebih hebat - 10 mina yang dipakai dengan betul dan bijak diberi 10 bandaraya! Tuhan sungguh berbesar hati dan mencari apa sebab yang mungkin untuk memberkati kita dengan melimpah!
Bagaimana dengan anda? Apakah anda sudah melabur dan menggunakan dengan bijak wang anda, kemahiran anda dan kenalan anda? Marilah menjadi pelabur bijak hari ini!

Tuesday, April 5, 2011

April 6 - Oh Zakheus!

Bacaan: Lukas 19:1-10

Siapa tidak tahu kisah Zakheus? Dan siapa tak pernah mendengar atau menyanyikan lahu tentang Zakheus yang pendek itu? Walaupun begitu saya tertanya-tanya: Siapa tahu mengapa kisah ini sangat penting?
Zakheus berusaha mengatasi kelemahannya supaya dia boleh mengenal Yesus. Walaupun dia orang berdosa yang jahat, keinginannya untuk mengenal Yesus dan usahanya mengatasi segala halangan memang patut dipuji kerana ianya mendedahkan sesuatu yang indah - ada orang jahat yang sanggup buat apa sahaja untuk jumpa Yesus. Orang seperti ini pasti mendapat perhatian Yesus!
Zakheus yang jahat dipakai oleh Yesus sebagai ilustrasi misi hidupnya - mencari dan menyelamatkan mereka yang jahat (berdosa). Ramai orang tidak senang ini. Mereka lebih senang menyingkirkan atau memusnahkan manusia yang jahat (lihat sahaja betapa penuhnya penjara-penjara kita). Yesus pula mahu mencari dan menyelamatkan ciptaanNya (manusia) yang rosak. Apakah kita juga mempunyai keinginan yang sama?
Lain kali bila lagu tentang Zakheus dinyanyikan ingat bahawa orang jahat yang mencari Tuhan akan diselamatkan oleh Yesus!

April 4 - Menyeru dan Mendapat

Bacaan 18: 35-43

Terlebih dulu maaf kepada mereka yang menunggu saya memuatnaik komen untuk hari ini kerana lambat - terlalu sibuk hingga tak ada peluang nak duduk depan komputer!
Bacaan hari ini best kerana ajarannya - mereka yang bersungguh mencari Yesus dan memohon bantuan dengan penuh keyakinan akan mendapat perhatian Yesus. Bukan itu sahaja, Yesus mahu supaya kita jelas apa yang kita mahu Dia lakukan. 
Jadi, tahukah anda apa yang anda mahu dari Yesus? Secara spesifik? Sudahkah anda semakin keras berseru memohon bantuan sejak hari pertama seruan itu dibuat? Akhirnya, jangan lupa: iman sentiasa diperluan dalam mana-mana permohonan yang ditujukan kepada Allah.

Sunday, April 3, 2011

April 3 - Saya Akan Mati!

Bacaan: Lukas 18:31-34

Yesus tahu apa yang akan terjadi kepadaNya apabila Dia ke Yerusalem. Dia bukan hanya tahu Dia akan mati tetapi Dia tahu dengan terperinci segala yang akan dilakukan dan oleh siapa. Yang menggalakkan saya ialah kepastian Yesus bahawa Dia akan bangkit pada hari ketiga. Maklumat ini tidak disembunyikan Yesus tetapi dikhabarkan kepada murid-muridnya. Ini nubuatan Yesus. Ini kata-kata yang keluar dari mulut Yesus – nabi, Mesias, Anak Manusia. Mustahil Dia meniou. Mustahil Dia menyatakan yang tak akan berlaku. Jadi kenapa dalam Al-Quran kematian Yesus dinafikan dan mereka yang mempercayai peristiwa ini terjadi dikatakan terpedaya dan salah fikir?
Ini pengakuan saya, ini kepercayaan saya: Yesus hidup, Yesus mati, Yesus hidup kembali!

April 2 - Kanak-Kanak dan Kekayaan

Bacaan: Lukas 18:15-30

Yesus mengasihi kanak-kanak dan mahu mereka dibawa kepadaNya – “Biarkanlah anak-anak itu dating kepada-Ku” – dan Dia tidak mahu apa atau siapapun menghalang mereka daripada mengenalNya.
Di Shalom pelayanan kanak-kanak di tahap kritikal – tidak ada rancangan dan bahan yang teratur serta hampir tiada guru sekolah minggu. Sesiapa yang membaca blog ini dan tersentuh untuk melayani anak-anak di Shalom, buat keputusan untuk menjadi guru sekolah minggu di Shalom.
Yesus juga membuat satu pemerhatian yang menarik – sangat sukar untuk orang kaya memasuki Kerajaan Allah. Renyembahan mammon sememangnya satu cabaran besar kepada sesiapa yang memiliki wang. Ingat: pastikan anda yang memiliki wang dan bukan wang yang memiliki anda. Akan tetapi ada harapan – kata Yesus tidak mustahil bagi Allah untuk menyelamatkan orang kaya.