Tuesday, April 12, 2011

April 12 - Siapa Saya, Berapa Beri?

Bacaan: Lukas 20:41-21:4

Yesus berusaha dengan keras dalam petikan ini untuk menunjukkan kepada orang Yahudi bahawa Mesias bukan seorang manusia – bukan hanya anak raja Daud – tetapi Tuhan. Menggunakan ayat dari Mazmur tentang Mesias yang diketahui ramai, Yesus cuba membuka pengertian kumpulan orang ramai yang mengelilinginya bahawa jika mereka anggap Dia sebagai Mesias mereka harus sedar apa yang disedari oleh raja Daud – Mesias bukan hanya dari keturunan manusia tetapi adalah peribadi yang bersekutu dengan Tuhan (bau-bau bacang Triniti ada dalam kenyataan Yesus ini juga).
Sesudah ini Yesus sekali lagi menegur kesalahan orang Farisi – keangkuhan mereka, amalan menunjuk-nunjuk, kegagalan mematuhi hukum Allah dan ketidakpedulian terhadap orang miskin – dan mengingatkan pengikutNya supaya jangan jadi macam mereka. Amaran ini mesti kita beri perhatian hari ini juga kerana masih ramai orang Kristian bersifat Farisi!
Akhirnya hal memberi – siapa yang memberi lebih banyak kepada Tuhan? Jika dipandang jumlah wang yang diberi, sememangnya orang kaya akan selalu menang kerana memberi jumlah yang besar bukan satu masalah. Akan tetapi Yesus tidak melihat jumlah yang diberi tetapi dari mana wang itu diambil dan jumlah pemberian berbanding dengan keseluruhan wang yang tinggal.
Wanita tua yang memberi dua peser dikatakan adalah pemberi terbesar kerana dua peser itu diambil dari wangnya yang sedikit dan jumlah pemberiannya berbanding wang yang tinggal ialah 100% - dia memberi dari kekurangan dan dia memberi seluruh nafkahnya.
Orang kaya dikatakan memberi dari kelimpahannya – dari ekstranya - dan pasti tidak memberi seluruh nafkahnya (mungkin 0.01% sahaja).
Bagaimana dengan pemberian anda – dari apa yang ada atau dari ekstra yang ada? Berapa peratus dari keseluruhan wang yang ada (wanita tua beri 100%)?

No comments:

Post a Comment