Monday, April 11, 2011

April 11 - Hidup Lagi!

Bacaan: Lukas 20:27-40

Orang yang telah mati akan hidup semula - kebangkitan - adalah satu daripada akidah asas agama Kristian. Hari ini, seperti juga pada zaman Yesus, ada orang yang percaya apabila seseorang itu mati maka akhirlah kewujudannya. Dengan erti kata lain, mereka tidak percaya ada kehidupan sesudah mati dan tidak ada kemungkinan orang yang telah mati kembali hidup seperti sediakala. Mereka ini mempunyai bantahan mereka sendiri serta senario-senario buat-buat untuk menunjukkan bahawa kebagkitan itu mustahil dan tidak masuk akal. Walaupun begitu jawapan Yesus kepada orang Saduki (mereka yang tidak percaya dalam kebangkitan) mendedahkan bukan hanya kepercayaan Yesus akan hal ini tetapi beberapa maklumat tentang keadaan mereka yang dibangkitkan satu hari nanti:

  1. Ada dunia lain yang ditujui oleh mereka yang sudah mati
  2. Tidak ada kahwin-mengahwin di dunia ini
  3. Mereka ini tidak dapat mati lagi
  4. Mereka sama seperti malaikat
  5. Mereka adalah anak-anak Tuhan
Juga Yesus memberi satu contoh untuk membuktikan mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup. Dia menggunakan frasa yang biasa dipakai oleh orang Israel apabila merujuk kepada Allah: Allah Abraham, Ishak dan Yusuf. Dalam bahasa Inggeris ianya lebih jelas: I am the God of Abraham dan bukan I was the God of Abraham. Allah tetap Tuhan Abraham kerana Abraham tetap ada. Itu sebabnya ayat 38 sungguh menggalakkan: Di hadapan Tuhan semua orang hidup!

1 comment:

  1. kalau tiada kebangkitan maka sia-sia saja la iman kita. Namun, kita mempunyai pengharapan yang pasti dalam Kristus! Amen!

    ReplyDelete